Sunday 20 May 2012

Sambutan Maulid Rasul di Saujana Impian

Alhamdulillah dapat pengalaman baru menyambut maulid Rasul dengan cara berselawat, bermarhaban bersama dengan Al-Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al Hamid di surau Saujana Impian kajang. Acara bermula dengan nasyid oleh kumpulan kanak-kanak, Diikuti dengan marhaban dan tazkirah ringkas olelh Al-Habib.

Pengalaman ini merupakan yang pertama bagi aku dikelilingi oleh orang-orang berjubah putih bersih yang wangi dan berserban di kepala serta kain serban di bahu. Mereka semua begitu semangat bermarhaban tidak kira lelaki atau pun perempuan. Dari kanak-kanak kecil sehingga pakcik pakcik dan makcik makcik tua, semua sangat bersemangat melaungkan marhaban tanda cinta kepada Rasulullah.

Selepas solat isyak, kami dijamu dengan nasi beriyani yang dihidangkan dalam dulang. Alangkah berkatnya InsyaAllah.

Sedikit perkongsian tentang tazkirah ringkas dari Al-Habib Ali. Allah memerintahkan kita untuk berbuat adil dan ihsan. Apa itu adil dan apa itu ihsan? Adil bermaksud meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya manakala ihsan pula adalah berbuat baik. Secara zahirnya, kedua-dua ini nampak seperti serupa tetapi sebenarnya sangat berbeza.

Hendak dimudahkan bicara, ihsan itu makamnya lebih tinggi daripada adil. Hendak berbuat adil lebih senang daripada hendak berbuat ihsan. Contoh senario.

Senario A - Ahmad menziarahi Amir ketika Amir sedang sakit tempoh hari. Ketika Ahmad sedang sakit, Amir juga pergi menziarahi Ahmad di rumahnya.

Senario B - Ahmad bergaduh dengan Amir sehingga putus sahabat. Amir yang terasa dizalimi oleh Ahmad sedangkan dirinya benar-benar tidak bersalah, memutuskan untuk memaafkan Ahmad dan pergi menemui sendiri Ahmad untuk menyambungkan kembali tali silaturrahim yang sudah terputus itu walaupun pada hakikatnya Ahmad yang bersalah.

Senario A adalah ADIL dan senario B adalah IHSAN. Adil kerana saling menyambung silaturrahim. Baik dibalas dengan baik. Ihsan kerana menyambung kembali silaturrahim yang terputus akibat dizalimi. Orang buat jahat dibalas dengan kebaikan. DOa orang yang dizalimi adalah sangat makbul tetapi alangkah ruginya jika digunakan untuk mendoakan kehancuran golongan-golongan tertentu. Alangkah indahnya jika digunakan keistimewaan itu untuk mendoakan yang baik-baik yang dapat memeberikan manfaat kepada semua orang.

Moga moga kita semua akan berusaha untuk berlaku adil dan ihsan dalam kehidupan kita, insyaAllah walaupun pada hakikatnya dua-dua ini adalah suatu perkara yang sangat susah. Mohon pada Allah dalam setiap doa kita dan berusahalah dengan usaha yang bersungguh sungguh insyaAllah dijadikan sebahagian dalam diri kita.


Saturday 19 May 2012

Hayatan Toyyibah

Sedikit perkongsian daripada kuliah subuh tadi. Perbincangan mengenai surah An-Nahl ayat 97.

" sesiapa yang beramal soleh, baik laki-laki atau perempuan dan beriman, pasti kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan kami akan beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. "

perkataan "Hayatan Toyyibah" yang bererti kehidupan yang baik. "Hayatan" bererti kehidupan. Kehidupan yang ada pada manusia ini hanya bersifat sementara. Manusia tidak akan kekal lama. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Hayatan merupakan sifat manusia. ia berasal daripada perkataan "al-Hayyu" yang bererti Yang Hidup, Yang Menghidupkan. Yang merupakan salah satu daripada 99 sifat Allah. Allah Al-Hayyu Maha Hidup dan Menghidupkan. Bererti 'hidup' Allah itu adalah kehidupan yang kekal abadi, bukan seperti manusia yang ada "hidup" sementara sahaja. Allah jua yang bisa mempunyai kuasa untuk menghidupkan sesiapa sahaja yang dikehendakinya.

Toyyibah pula berasal daripada perkataan Toyyib. At-Toyyibu merupakan salah satu gelaran Allah yang bererti  yang membaikkan. Allah itu merupakan yang terbaik dan dia tidak layak untuk menerima apa-apa melainkan yang terbaik sahaja. Oleh itu segala tindak tanduk kita yang bukan dilakukan untuk Allah bukanlah yang terbaik. Kerana itu, sebagai hambaNya, sentiasa perbaiki diri kita untuk memberikan yang terbaik kepada Allah. yang terbaik adalah lafaz '' Tiada Tuhan Selain ALLAH"  yang diterjemahkan dalam percakapan, perbuatan dan juga hati kita. Itulah sebaik-baik zikirullah.

Secara keseluruhannya, ayat di atas menerangkan bahawa untuk mendapat HAYATAN TOYYIBAH, seseorang itu haruslah terus dengan amal-amal soleh dan yang penting sekali adalah beriman. Beriman itu bermaksud PDYG iaitu Percaya Dengan Yang Ghaib. Ghaib itu termasuklah hari kiamat, syurga neraka.

Moga kita sama-sama berusaha untuk mendapatkan HAYATAN TOYYIBAH insyaAllah.

Wednesday 16 May 2012

BELAJAR DENGAN GURU SEKOLAH SAHAJA

Damar seorang kanak-kanak lelaki berumur 5 tahun seorang kanak-kanak yang sangat ceria. Dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibubapanya, semua barang keperluannya memang sentiasa cukup. Sejak 4 tahun lagi sudah dihantar ke tadika untuk belajar membaca. ABC sudah tahu, 'speaking' pun boleh juga. Petangnya dihantar pula mengaji Alif Baa Taa. Menghafal surah-surah pendek. Semua memang lengkap diberikan kepadanya oleh ibubapanya. Boleh dikatakan mereka adalah Parent yang bertanggungjawab dunia dan akhirat.

Suatu hari ketika mengaji, ustaznya memberikan kata-kata semangat kepada Damar. ''Damar, kalau nak hafal quran nih, kena mula rajin dari sekarang. Baca Muqaddam dulu, lepas tu nanti baru boleh mengaji macam ayah. Ayah Damar pandai mengaji tuh. Sedap suara dia tuh. " Kebetulan ayah Damar berkawan dengan Ustaz Damar sejak dari kecil dan tahu tentang ayah Damar yang memang mempunyai suara yang sedap ketika bertilawah quran.

Namun, Damar seorang kanak-kanak yang fitrahnya sangat jujur, tidak tersangka-sangka menjawab, " iye keee? Damar tak pernah tengok ayah mengaji pun. Selalu ayah keluar rumah sebelum magrib. Balik rumah malam. Ayah pergi main snooker dengan kawan-kawan dia." Kemudian ustaz terus menyambung Damar mengaji sehingga magrib dan Damar pun pulang ke rumahnya bersama-sama ibubapanya kembali. Esok dia harus ke sekolah lagi untuk belajar ABC dan belajar cakap I and YOU dengan GURUNYA di sekolah.
Dan kemudian apabila malam bersama GURUNYA di rumah pula.

Tuesday 17 April 2012

Perumpamaan Allah

Bismillahirrahmanirrahim

Allah berfirman " Perumpamaan mereka seperti orang yang nyalakan api setelah menerangi sekelilingnya, Allah melenyapkan cahaya mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta sehingga mereka tidak dapat kembali. " (surah al-baqarah ayat 17-18)

Allah memberikan perumpamaan iman itu sebagai cahaya api yang menerangkan keadaan sekelilingnya. Iman merupakan perkara asas dalam pembinaan sebuah bangunan. Ia menjadi tapak kepada tertegaknya sebuah bangunan yang kukuh. Jika tiada asas yang kukuh maka bangunan setinggi mana atau secantik mana pun akan runtuh dengan sendirinya suatu hari nanti.

Oleh kerana itu, jika tiada cahaya maka kehidupan seseorang itu akan terganggu serta akan musnah kerana setiap gerak langkahnya hanya berdasarkan agakan sahaja atau cubaan yang boleh mengundang kesilapan. Iman memberikan kehidupan kepada manusia. Dengannya manusia akan dipandu dengan jelas, mereka tahu bahawa hidup ini hanya sementara, oleh itu dijalani hidup ini dengan hati-hati mengikut segala yang telah diperintahkan tanpa melanggar segala arahannya.

ALlah juga menyebut bahawa Allah bisa untuk menarik kembali cahaya yang sudah diberikannya kerana dia Maha Berkuasa kepada segala-segalanya. Oleh itu, setiap manusia sepatutnya harus bersyukur dan sentiasa berdoa agar iman yang dikurniakan ini akan sentiasa bertambah dan kekal dalam diri kita sehingga akhir hayat kita kerana tanpa iman maka kita tidak akan kembali kepada Allah dalam keadaan gembira. Kita akan menjadi seorang yang sentiasa menyesal dan berharap agar dapat kembali semula ke dunia untuk melakukan ibadat tetapi Allah tahu bahawa sesal kita itu tiada gunanya lagi.

Akhir sekali, orang tanpa iman Allah mengumpamakan seperti orang yang bisu, buta dan tuli. Mereka ada semua pancaindera tetapi entah kenapa mereka tidak menggunakannya dengan baik. Ada mata tetapi tidak mahu melihat kebesaran Allah, hanya melihat perkara maksiat. Ada telinga tetapi hanya mahu mendengar perkara-perkara yang sia-sia sahaja. Ada mulut tetapi tidak pernah diseru kepada yang makruf malah selalu berbohong, mengumpat, memfitnah dan sebagainya.

Ingatlah sahabatku, kita akan disoal di hadapan Allah di hari pembalasan kita nanti. Sekiranya iman kita tidak pernah bertambah malah makin berkurang dan berkurang sehingga menjadi senipis debu, maka pada hari itu tiada apa yang dapat menyelamatkan kita dari azab Allah. Oleh itu, selalulah berdoa kepada Allah agar dihidupkan dalam iman, dimatikan dalam iman dan dibangkitkan dalam iman. Sesungguhnya Iman itu tidak datang bergolek sahaja tanpa kita berusaha tetapi adalah hasil daripada usaha yang berterusan tanpa mengenal rasa jemu dan bosan.

Wallahua'lam.

Friday 6 April 2012

macam ragam

Macam macam ragam budak budak zaman sekarang
Semalam pergi ke masjid solat jumaat
Ramai budak budak sekolah menengah yang berhampiran solat di situ
Ramai yang sampai awal
macam macam ragam budak budak zaman sekarang
Ada yang duduk dalam masjid
Ada yang duduk di luar masjid
Ada yang duduk ramai ramai bual bual di luar masjid
Ada yang duduk seorang seorang dalam masjid
Duduk baik sahaja senyap khusyuk
Tetapi rupanya khusyuk bermain PSP nya
Semasa berkhutbah memang riuh lah suara budak budak ini di luar
Bukan aku tidak pernah menjadi seperti budak budak ini
Tetapi paling kurang pun janganlah lari lepas iqamat
Ada budak budak masa iqamat sudah mula lari ke luar
Hendak kata takut tidak sempat ke sekolah, sekolah hanya di luar pagar sahaja
Ada juga yang solat pun tidak, lari pun tdak, tetapi hanya duduk di luar masjid menunggu orang memberi salam untuk lari keluar
Yang buat ini semua bukan muka muka budak budak otai, tetapi semua muka budak budak nerd

Banyak perkara yang perlu dilakukan untuk tangani budak budak seperti ini. Era globalisasi menyebabkan yang dipandang dan diikut hanyalah model kemajuan barat. Banyakkan hiburan, berfikiran terbuka terhadap semua benda tetapi tidak mahu bertindak seiiring dengan fikiran. Ilmu itu hanyalah ilmu yang boleh memberikan kita kemewahan tanpa diajar tujuan sebenar kita mengejar kemewahan itu.

Berfikiran terbukalah sehingga fikiran kita mampu berfikir erti sebenar kehidupan. Contohnya dalam bidang pergaulan, seorang yang berfikiran terbuka akan berkata apa salahnya bercampur lelaki dan perempuan. Kita adalah serupa. Di negara maju wanita banyak memegang jawatan jawatan penting sama ada dalam kerajaan atau pun swasta. Tetapi orang seperti ini tidak befirkir dengan lagi terbuka. Tidak berfikir tentang baik dan buruknya. Mereka hanya mengambil yang baik sahaja  yang nampak enak mengikut hawa nafsu mereka sebenarnya tanpa mengira yang buruk.

Thursday 19 January 2012

Mendung

Mendung yang semalam
Sampai ke pagi
Hujan renyai renyai mengiringi
Rasa gelap di hati

Betapa jauh diri ini
Makin bertambah nikmat makin dijauhi
Yang makin dekat adalah rugi
Kejar pada duniawi
Walau tahu itu bukan yang hakiki

Bila hati sudah menjadi sekeras batu
Sutera yang lembut tidak mampu lagi
Menambat hati dari pergi
Makin jauh dari Ilahi

Suram mendung pasti akan pergi
Matahari pasti menyinar kembali
Anak anak burung menunggu ibunya kembali
Namun manusia terus lena diulit mimpi

Dilema

Setiap hari aku dilema
mengejar cita dunia
tanpa lupa pada pencipta
yang sentiasa dekat dengan kita

Cita cita dunia
Sangat indah di mata
Semua orang juga suka
Sehingga lupa pada tugasan hamba

Tugas hamba sangat mulia
Menyambung risalah junjungan mulia
Menghambakan diri setiap masa
Mengharap redha yang paling utama

Namun sayang
Balasannya tidak nampak di mata
Jalannya sukar dan panjang
Hanya yang dibuka mata hati
Diberi petunjuk oleh ilahi

Berdoalah selalu
Berfikirlah selalu
Tujuan sebenar penciptaan
Tujuan sebenar kehidupan

Hidup itu untuk mati
Mati itu memang pasti
Pasti menjadi hamba sejati
Moga mendapat redha Ilahi